Jumaat, 23 Oktober 2009

Menteri Wilayah digesa tumpu 4 isu utama masyarakat

Oleh : Harakahdaily

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mahu Kementerian Wilayah Persekutuan memberi tumpuan kepada empat isu rakyat di ibu kota selepas pembentangan bajet 2010 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Ketua Penerangan DPPWP, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam satu kenyataan meminta Kementerian Wilayah Persekutuan memberikan subsidi dan bantuan yang sewajarnya kepada golongan miskin bandar di kawasan itu.

Ini kerana ujarnya, pendapatan isi rumah sebanyak RM1, 250 sebulan tidak menjamin keselesaan hidup di Kuala Lumpur.

"Kos pembayaran semula perumahan atau sewa rumah yang tinggi, harga petrol yang meningkat di samping kos sara hidup seharian yang tinggi sering kali membebani isi rumah,"

"Ini tidak termasuk ibu bapa yang bekerja terpaksa mengurangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak dan akhirnya akan melonggarkan institusi keluarga itu sendiri,"katanya.

DPPWP turut mendesak pihak kementerian memberikan perhatian kepada masalah kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur akibat kepadatan kenderaan di waktu puncak dan memberikan banyak impak negatif kepada penghuni ibu kota.

Cara yang terbaik katanya, pihak kementerian harus meningkatkan kualiti kenderaan awam agar ia menjadi pilihan utama masyarakat setiap hari.

"Masalah kesesakan lalu lintas memberikan impak yang negatif umpamanya waktu terluang harian bersama keluarga terhad, tekanan mental akan bertambah dan membebankan kewangan rakyat. Malah, indeks pencemaran udara di Kuala Lumpur sentiasa berada pada tahap yang membimbangkan," katanya lagi.

Selain itu, pihak kementerian di bawah Menterinya, Datuk Raja Nong Chick Raja Zainal Abidin harus mengambil serius aspek kebersihan di sekitar Kuala Lumpur dengan meninjau sendiri keadaan ini terutamanya di kawasan-kawasan perumahan yang padat dan berkelompok.

"Amat tidak wajar sekiranya Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai kawasan pelancongan negara dan bandaraya kebudayaan Islam dengan suasana sampah dan vandalisme yang agak kritikal," katanya lagi.

DPPWP turut mendesak pihak kementerian berkerjasama dengan ahli-ahli parlimen di wilayah itu untuk menganjurkan program-program yang memberi penekanan kepada pembinaan jati diri golongan belia.

Ini kerana ujarnya, peningkatan kadar jenayah setiap tahun memerlukan usaha membina generasi berilmu dan bermoral.

"Penduduk-penduduk di kawasan perumahan yang padat amat khuatir dengan kes-kes moral belia di kawasan mereka. Ini bermakna, golongan belia perlu diberikan bimbingan melalui program-program belia seperti aktiviti kemahiran, keusahawanan dan ilmiah,katanya.

Tegasnya, pihak kementerian harus berusaha menampilkan imej berkebajikan terhadap rakyat dengan kuasa dan peruntukan yang ada.

Pihak kementerian juga diharap dapat memberikan kerjasama yang baik dengan semua pihak termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar nasib rakyat tidak disisihkan.

"Pihak kami akan menyokong sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak kementerian selagi ia memberikan keuntungan kepada agama, rakyat dan negara," ujarnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan