Jumaat, 26 Jun 2009
AL-FATIHAH
Juga takziah buat saudara kita, Abdul Kadir b. Manap (Bendahari Dewan Pemuda Pas Kaw. Batu) atas pemergian bapa beliau petang semalam.
Diberitakan Allahyarham bapa beliau terlibat dalam kemalangan langgar lari berdekatan bandar Muar, Johor. Allahyarham meninggal di tempat kejadian. Untuk makluman, Allahyarham adalah merupakan Ketua Dewan Ulama' Pas Kawasan Pagoh dan menetap di Muar.
Rabu, 17 Jun 2009
Antara dua Tok Guru: PENJELASAN DAN PENJERNIHAN TERHADAP KONSEP KERAJAAN PERPADUAN

Oleh : Wan Abdul Rahman Wan AB Latif
SEJAK Tuan Guru Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memperkenalkan konsep kerajaan perpaduan, ia telah menimbulkan satu polemik seolah-olah terdapat perbezaan pemikiran yang serius antara Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN.
Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.
Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.
Umno meyindir begitu hebat sekali seolah-olah kerajaan negeri Trengganu pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi adalah begitu miskin sekali sampai peringkat meminta sedekah kepada Kerajaan Pusat.
Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar.
Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.
Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.
Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.
Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am.
Tuan Guru Presiden adalah ikhlas dalam mengetengahkan idea kerajaan perpaduan. Sekiranya Umno ikhlas dalam hal ini, tindakan segera yang Umno perlu lakukan ialah jangan bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai 2009 nanti.
Sekiranya Umno terus bertanding, maka Umno yang sebenarnya berpura-pura mengenai kerajaan perpaduan dan bukannya kedua-dua Tok Guru yang mereka ingin lagakan.
Takrifan dan latarbelakang sejarah
Kerajaan Perpaduan dapat didefinisikan sebagai "satu kerajaan campuran yang besar terdiri dari semua parti politik (atau semua parti politik yang penting) yang berada dalam satu Dewan Perundangan (legislature) dan biasanya dibentuk dalam masa perang atau lain-lain keadaan dharurat yang dihadapi oleh sesebuah negara."
Dari takrifan ini ia memperlihatkan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah merupakan satu struktur politik yang kekal. Ia bersifat sementara, iaitu ia diwujudkan dalam keadaan-keadaan yang kritikal (seperti semasa perang dan krisis ekonomi yang meruncing) bagi menjamin kelangsungan negara itu sendiri.
Ini bermakna perbezaan pandangan antara parti yang memerintah dan pembangkang perlu dikesampingkan. Atas dasar inilah kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang.
Ia boleh menjadi satu struktur politik dan pentadbiran yang kekal sekiranya Islam dijadikan bahan rujukan dalam segala aspek pentadbiran negara, atas kesedaran bahawa Islam adalah satu sistem yang syumul dan paling sempurna yang diturunkan oleh Allah untuk manusia.
Dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922.
Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, Perdana Menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945.
Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Sebagai contoh, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara.
Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.
Kerajaan yang ditubuh ini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional atau Government of National Unity (GNU). Di bawah pimpinan Presiden Nelson Mandela, GNU berkembang dan berfungsi dengan baik.
Pada pilihan raya 27 April 1994, Parti Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress) pimpinan Mandela telah memenangi majoriti kerusi di Dewan Perhimpunan Nasional dan boleh menubuh kerajaan tanpa bantuan parti-parti lain.
Walau bagaimanapun, dua parti lain, Parti Nasional dan Parti Kebebasan Inkatha telah menerima pakai peruntukan GNU dan memperolehi beberapa portfolio kabinet.
Presiden Mandela turut mengundang parti-parti lain menyertai kabinet sungguhpun parti-parti ini tidak memperolehi 20 kerusi minima sebagaimana yang diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai GNU. GNU bertahan sehingga 1999.
Contoh kedua ialah Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka.
Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima.
Berbeza dengan Afrika Selatan di bawah Mandela, kerajaan perpaduan Israel tidak menjemput parti-parti politik lain yang lebih kecil menyertai kerajaan yang dibentuk. Kerajaan perpaduan yang dibentuk di Israel mempunyai motif politik yang tersendiri iaitu hanya memikirkan survival bangsa Yahudi sahaja.
Halangan ke arah pencapaian
Bukanlah sesuatu yang senang untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan terutamanya dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana nilai-nilai politiknya adalah sarat dengan nilai-nilai perkauman.
Memahami betapa terdapatnya halangan-halangan yang serius bagi penubuhan sebuah kerajaan perpaduan di Malaysia, maka Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan hanya merupakan satu lontaran idea. Tidak lebih dari ini.
Sekiranya ada pihak-pihak yang berminat, maka penerokaan yang lebih mendalam terhadap idea ini bolehlah diteruskan. Antara perkara yang perlu dibincang ialah bagaimana untuk mengatasi halangan-halangan yang sedia ada bagi membolehkan idea kerajaan perpaduan dipraktikkan.
Di Malaysia, antara halangan yang wujud ialah pertama, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang dilihat oleh sesetengah pihak (termasuk parti politik) sebagai menghalang perpaduan. Peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan ialah: Islam sebagai agama Persekutuan; hak istimewa orang Melayu; Perkhidmatan Awam (termasuk polis dan tentera); DEB, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain. Apakah perkara-perkara ini perlu dipinda? Atau di mansuh?
Halangan kedua ialah sistem pilihan raya yang berteraskan first-past-the-post. Dapatlah dihujahkan di sini bahawa sistem pilihan raya yang berteraskan prinsip 'perwakilan berkadar' (proportional representation) adalah lebih selari dengan konsep kerajaan perpaduan.
Halangan ketiga ialah sistem Federalisme ikutan Malaysia di mana terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Kerajaan Pusat. Apakah ini sesuai dengan perjalanan 'kerajaan perpaduan'?
Halangan ke empat ialah peranan Ketua Whip di Parlimen; ia perlu dipinda. Begitu juga dengan peranan BBC. Ini adalah kerana kewujudan institusi ini menyebabkan ahli-ahli parlimen terpaksa akur kepada keputusan partinya sungguhpun ada ahli-ahli parlimen dari parti ini tidak bersetuju dengan keputusan atau dasar yang dibuat oleh parti mereka sendiri.
Kerajaan Perpaduan: Peranan PAS
Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut: Pertama, bergerak cergas bagi merealisasi prinsip loyal opposition.
Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional.
Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip 'pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif'.
Ke empat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.
Sekiranya PAS masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan, maka GNU pimpinan Nelson Mandela adalah model terbaik yang boleh dijadikan sebagai model dan perlu dikaji secara mendalam kesesuaiannya dalam konteks Malaysia.
Model ini sudah semestinya diterapkan dengan nilai-nilai Islam. Jangan juga lupa bahawa Sahifah Madinah yang dihasilkan oleh Rasulullah (saw) sendiri merupakan model terbaik kerajaan perpaduan. - mks.
(Penulis adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP). _
Selasa, 5 Mei 2009
Demontrasi besar-besaran 7 Mei bukan tajaan PAS, tapi provokasi Zambry
IPOH, 5 Mei (Hrkh) - PAS sama sekali tidak tidak mengarahkan ahli dan penyokongnya untuk mengadakan demontrasi besar-besaran pada 7 Mei ini sempena persidangan Dewan Undang Negeri Perak. "PAS tidak pernah mengerluarkan arahan sama ada berbentuk tulisan atau lisan untuk mengajak penyokongnya mengadakan demontrasi besar-besaran di bandar raya ini."
Demikian ditegaskan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Awang dalam sidang medianysa di Pejabat PAS Negeri di sini semalam. Turut hadir Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Misbahul Munir Masduki.
Beliau memberi jaminan Pakatan Rakyat tidak akan menganjurkan perhimpunan tersebut dan akan memberikan nasihat kepada ahli dan penyokongnya agar tidak menyertai sebarang himpunan haram pada tarikh tersebut.
"Tetapi sekiranya orang ramai hadir juga, itu di luar tanggungjawab Pakatan Rakyat. Wakil Pakatan Rakyat menuntut supaya pihak polis menggunakan kebijaksanaan yang berhemah apabila berhadapan dengan perhimpunan seumpama itu," katanya.
Ahmad Awang memberitahu pada jam 10.00 pagi semalam beliau bersama Ketua Penerangan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki dan seorang peguam daripada PAS telah bertemu dengan Ketua Polis Perak ekoran surat yang telah dihantar oleh pihak polis.
Dalam surat itu menjelaskan pertemuan Adun Pakatan Rakyat dan pimpinan parti politik dengan Ketua Polis Perak.
"Yang hadir wakil PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), wakil DAP dan Umno atau BN tidak ada," katanya.
Ketua Polis Perak memberitahu pihak polis hendak mengingatkan PAS agar tidak mengadakan demontrasi besar-besaran pada 7 Mei ini kerana kata Ketua Polis Perak, pihaknya ada mendapat maklumat demontrasi besar-besaran akan diadakan pada 7 Mei ini.
Pihak polis juga bersedia kata Ketua Polis Perak itu untuk memberi perlindungan kepada mana-mana Adun Pakatan Rakyat yang merasakan diri mereka tidak selamat, pihak polis akan mengiring Adun tersebut untuk sampai ke Dewan.
Menurut beliau, PAS tidak tahu menahu tentang demontrasi besar-besaran oleh pihak tertentu pada 7 Mei itu sehinggalah pimpinan parti membaca akhbar kenyataan yang dibuat oleh Dato' Zambry Abdul Kadir yang menyatakan akan berlaku demontrasi besar-besaran oleh pihak tertentu.
"Kenyataan Zambry ini satu provokasi yang membuat tuduhan kepada pembangkang mengenai demontrasi besaran-besaran pada 7 Mei, sepatutnya Zambry dipanggil oleh pihak polis ekoran kenyataan provokasinya itu," tegas Ahmad awang.
Beliau bimbang kenyataan provokasi daripada Zambry itu merupakan satu taktik dari Umno/BN yang akhinya nanti pihak tersebut yang merancang dan mengadakan perhimpunan besar-besaran itu.
"Apa yang berlaku pada 3 Mac lalu jelas ada pihak tertentu di bekalang Umno yang membuat provakasi sehingga mencederakan orang ramai, tetapi PAS menghadapinya dengan cukup sabar kerana tidak mahu menimbulkan pergaduhan dan kekacauan," katanya.
"PAS telahpun membuat laporan kepada pihak polis tetapi sehingga ini tidak ada tindakan dari pihak polis terhadap kumpulan tertentu yang mencetuskan kekacauan itu," katanya.
Beliau turut menasihati ahli dan penyokong PAs supaya tidak terlibat dalam demonstrasi besar-besaran itu kerana dibimbangi ada pihak tertentu yang merancang dan melakukan perbuatan yang tidak diingini yang akhirnya nanti PAs dituduh sebagai dalang menganjurkan perhimpunan itu, inilah yang Umno/BN mahu dan harap-harapkan. - mns_
SOLAT HAJAT DAN MUNAJAT MOHON PERANCANGAN JAHAT GAGAL

PAS Perak meminta semua PAS Kawasan mengadakan Munajat dan Solat Hajat di Markaz PAS masing-masing mulai malam esok sehinggalah selesai sidang DUN. Solat Hajat dan Munajat diadakan bagi memohon dan mengadu kepada Allah swt. supaya persidangan DUN 7 Mei ini berjalan dalam keadaan yang baik dan tenteram, memohon supaya segala perancangan jahat dapat dihindar dan digagalkan dan memohon supaya Tuanku terbuka hati membubarkan DUN bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan baru negeri Perak.
Selain itu, Solat Hajat dan Munajat Perdana turut akan diadakan pada 7 Mei di Masjid Al Ittihadiyah, Kg. Tengku Husein bermula jam 5.00 pagi 7hb. Mei. Muslimin Muslimat diseru hadir demi keamanan dan keadilan di negeri Perak Darul Ridhuan.
Solat Hajat Untuk Kemenangan Hj Nizar

Semua ahli PAS dan penyokong serta seluruh umat Islam yang cintakan keadilan dipohon mengadakan Solat Hajat dan Munajat samada bersendirian atau berjamaah untuk kemenangan Hj Nizar dalam kesnya yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Isu siapa MB yang sah di Perak sedang dibicarakan sejak semalam (04 Mei 09) lagi, hari ini kes di sambung semula dan dijangka esok Hakim Mahkamah Tinggi akan memutuskan siapa MB yang sah di Perak.
Justeru itu, seluruh ahli dan penyokong PAS seluruh negara hendaklah memohon pertolongan daripada Allah swt. melalui Solat Hajat dan Munajat agar Hj Nizar diberi kemenangan dalam kes ini.
Sebarkan maklumat ini.
Ust. Misbahul Munir
Rabu, 29 April 2009
Himpunan Rakyat Bagi Mendesak Kabinet Menarik Balik Keputusan Menukar Agama Anak
1 Mei 2009 (Jumaat)
Perkarangan Masjid Kg. Bharu Kuala Lumpur.
Selepas Solat Jumaat
Anjuran
Dewan Pemuda Pas Wilayah dan Lajnah Dakwah & Pembelaan Islam DPPP
Seluruh Pemimpin Umat Islam, Ahli Politik, NGO dan rakyat diseru untuk hadir