Ahad, 16 Disember 2012

Ketua Pemuda DPPKB dipanggil buat rakaman percakapan aduan berhubung isu Shahrizat


KUALA LUMPUR, 16 Disember / 2 Safar - Ketua Pemuda PAS Kawasan Batu, Abu Bakar Abdul Rahman telah dipanggil oleh pihak Polis bagi merakam percakapan aduan berhubung laporan Polis oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu ke atas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pagi tadi.

Prosedur rakaman percakapan aduan itu bermula jam 11.15 pagi tadi dan tamat pada jam 12.45 tengahari. Ia dikendalikan oleh ASP Chua Wee Seong.

Laporan Polis itu - yang dibuat pada 3 Disember lalu - dibuat atas sebab kenyataan Shahrizat ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dilihat berpotensi mencetuskan kegelisahan dan provokasi jahat terhadap umum, selain ianya dilihat sebagai satu cubaan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman ketika PilihanRaya UMUM ke-13 semakin menjelang.

Menurut Abu Bakar, ucapan sebegitu tidak dapat diterima sama sekali. "Beliau (Shahrizat) membuat ucapan itu dengan pengetahuan bahawa setiap kata-katanya akan mendapat perhatian umum, apatah lagi ucapannya disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan. Apakah beliau tidak memikirkan tentang risiko dan padah akibat ucapannya itu?" katanya ketika disoal.

Tambahnya lagi, "Kita lihat kesan daripada provokasi terbuka oleh Sharizat telahpun menampakkan bunga-bunga kotornya. Kejadian keganasan sewaktu Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak yang menyaksikan aksi membaling batu dan tikam yang mendapat restu Pemuda UMNO Gombak serta ucapan rasis yang sama oleh Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali semalam - semuanya adalah kesan daripada provokasi melampau oleh Shahrizat ini."

Beliau turut menegaskan bahawa ucapan Shahrizat itu tidak spontan, bahkan pastinya telah dirangka terlebih dahulu dan mendapat semakan ramai pihak dalam Pergerakan Wanita UMNO, bahkan oleh pucuk pimpinan UMNO itu sendiri. "Ini menunjukkan UMNO sememangnya mengikut fahaman Machiavelli - menghalalkan cara demi keterdesakan mengekalkan kuasa waima terpaksa mencetuskan huru hara sekalipun."

Ini tidak mustahil kerana secara kebetulan, bapa kepada Perdana Menteri sekarang ini juga terlibat dalam insiden berdarah 13 Mei yang menyaksikan UMNO dan Perikatan sedang mengalami kemerosotan teruk, tambahnya lagi.

Ketika ditanya mengenai harapan beliau berhubung laporan Polis ini, Abu Bakar menjelaskan bahawa sudah tiba masanya Polis wajib mengambil tindakan keras terhadap Shahrizat dan sesiapa sahaja yang cuba mencetuskan huru hara awam. "Berbanding orang awam yang berkata-kata, ucapan pemimpin seperti Shahrizat ini lebih memberi impak kepada masyarakat jadi saya harap pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Shahrizat dan sesiapa juga yang mengeluarkan kenyataan sebegini."

Polis juga harus mengutamakan kepentingan dan kemaslahatan awam dan tidak lagi tunduk kepada tekanan parti pemerintah, tambahnya lagi.

Beliau juga mendesak agar Shahrizat memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia atas kelancangannya.

Ketika Perhimpunan Agung UMNO yang lepas, Shahrizat dalam ucapan dasarnya menyatakan kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memungkinkan tercetusnya ulangan tragedi berdasar 13 Mei 1969. Ucapan itu mendapat reaksi keras daripada pelbagai pihak termasuklah PAS yang turut menyaksikan respon spontan mengutuk kenyataan itu daripada Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar, Ketuda Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi serta Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Kamaruzaman Mohamed.

Turut mengiringi Abu Bakar tadi ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu, Nurpais Ismail.

-WPBnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan