Isnin, 17 Disember 2012

artikel : SIAPAKAH PERKAUMAN SEBENARNYA?


SIAPAKAH PERKAUMAN SEBENARNYA?

oleh Fais Al-Hajari (Ketua Penerangan DPPKB)

Buat kali pertama dalam sejarah penulis mengenali dunia politik, inilah kali pertama kongres atau perhimpunan agung DAP  - yang tahun ini juga merupakan tahun pemilihan pucuk pimpinan mereka - mendapat liputan meluas media tempatan. Malah, sejak akhir-akhir ini begitu banyak laporan dan liputan diberikan ke atas perhimpunan agung parti-parti komponen Pakatan Rakyat (kecuali PKR setakat ni - mungkin tidak mahu mempromosikan Anwar Ibrahim).

Cuma laporan dan liputan yang diberikan - seperti biasa - hanya menjurus kepada perkara negatif. Dalam ertikata mudahnya, mencari salah untuk disensasikan. Jika adanya ulasan daripada pemerhati politik tanahair, ulasan itu hanyalah datang daripada tokoh-tokoh pemerhati pro-UMNO BN.

Terkini, media menghentam DAP sebagai sebuah parti yang terbukti chauvinis dan bersifat perkauman apabila dikatakan tiada wakil melayu, india atau punjab dalam senarai kepimpinan utama parti itu. Pandangan itu digemakan lagi dengan kenyataan-kenyataan daripada pucuk pimpinan UMNO seperti Najib Razak, Muhyiddin Yassin serta bekas Timbalan Pengerusi DAP yang keluar parti, Tunku Abdul Aziz.
Soalnya, apakah perkauman atau tidaknya sesebuah organisasi itu ditentukan oleh bangsa yang menghuni pucuk pimpinannya semata-mata atau sebenarnya itu bukanlah menjadi faktor penentunya sama sekali?

Baik. Jika pandangan yang menyatakan bahawa sesebuah parti itu merupakan parti perkauman, sudah tentulah kita akan mengatakan UMNO, MCA dan MIC sebagai parti perkauman kerana parti itu sememangnya dihuni oleh melayu, cina dan india masing-masing. Malah jika teori sebegini digunapakai, maka PAS juga merupakan parti perkauman kerana daripada Majlis Syura Ulama hinggalah ke jawatan Presiden membawa kepada senarai Ahli Jawatankuasa Kerjanya, semuanya dihuni oleh kaum melayu belaka.

Tapi, PAS tidak dianggap umum sebagai parti perkauman melayu, sebaliknya PAS dikenali sebagai parti Islam yang membawa perjuangan Islam. Uniknya PAS walaupun dihuni oleh majoriti melayu serta membawa wadah Islam, kaum bukan Islam dengan padu menyokong PAS sehingga mewujudkan DHPP serta banyak lagi perikatan tidak rasmi yang lain. Kenapakah demikian? Ya - tak lain tak bukan kerana DASAR parti PAS yang meletakkan Islam sebagai perlembagaan tertinggi parti. Dek kerana dasar itu, PAS tidak dianggap parti perkauman, sebaliknya dikenali sebagai parti untuk semua kaum dan agama kerana Islam itu sendiri adalah untuk semua.

Begitu juga DAP. Jika dilihat dari komposisi jawatankuasanya, sudah tentulah mereka akan dikatakan sebagai "parti cina", tetapi apakah DASAR perlembagaan dan perjuangan DAP? Iaitulah untuk menjadi sebuah parti bagi SELURUH RAKYAT MALAYSIA. Bermakna, dasar DAP adalah untuk semua kaum dan tidak terhad kepada cina semata-mata. Ini dibuktikan di Pulau Pinang apabila kerajaan negeri yang diterajui DAP (jangan lupa - hanya ada seorang wakil PAS dalam kerajaan negeri) terus menerus memberikan pelbagai bantuan dan galakan kepada sektor agama Islam di negeri itu bermula daripada kenaikan elaun imam, bilal dan guru KAFA hinggalah kepada penambahan peruntukan sektor agama yang kini telah mencecah RM 63.21 juta (sekadar perbandingan, peruntukan agama Islam untuk Negeri Sembilan yang diterajui UMNO hanyalah RM 5.63 juta). Apakah itu boleh menjadi kenyataan jika benar DAP merupakan parti perkauman cina yang chauvinis?

Secara kesimpulannya, perkauman atau tidaknya sesebuah organisasi atau parti itu tidak tergantung kepada komposisi ahli atau jawatankuasa eksekutifnya semata-mata, tetapi ianya ditentukan secara tuntas menerusi dasar dan tindakan-tindakan yang diambil parti tersebut. Jadi berdasarkan penjelasan ini, ternyata parti-parti komponen utama dalam BN itu merupakan parti perkauman tegar lagi chauvinis kerana dengan jelas mereka hanya berminat untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing sehingga sanggup mengusik sentimen perkauman bagi memastikan kelangsungan kewujudan mereka, sepertimana yang telah dilakukan oleh Shahrizat Jalil dan Ibrahim Ali dalam ucapan dasar mereka ketika perhimpunan agung organisasi masing-masing.

Bak kata pepatah melayu, telunjuk lurus kelingking berkait.

(sila like fanpage rasmi Pemuda PAS Batu, https://www.facebook.com/pemudabatudotcom. artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan