Khamis, 23 April 2009

Rombakan GLC selepas ini?







Di kalangan orang korporat dan politik, tajuk yang kini menjadi topik perbualan ialah perubahan yang dikatakan bakal berlaku dalam pentadbiran/pengurusan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau GLC. Beberapa nama disebut-sebut akan dilantik untuk menerajui GLC tertentu dan syarikat-syarikat besar milik kerajaan seperti Petronas.

Orang politik pula sedang melobi untuk dilantik sama ada pengerusi atau ahli lembaga pengarah GLC ataupun syarikat-syarikat/perbadanan-perbadanan milik kerajaan seperti MAS, Sime Darby, Telekom Malaysia, Tabung Haji dan MARA.

Setiap kali berlaku perubahan puncuk pimpinan maka akan berlakulah perubahan dalam kepimpinan dan lembaga pengarah perbadanan-perbadanan, badan-badan berkanun dan syarikat kerajaan seperti Felda, Felcra, Risda dan Finas.Lazimnya golongan profesional seperti akauntan, ahli undang-undang atau ahli ekonomi dipertimbangkan untuk pengerusi GLC seperti MAS dan Sime Darby manakala tokoh politik untuk yang lain terutama yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan seperti MARA, Risda ataupun Felda.

Manakala GLIC atau syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti Maybank, CIMB, PNB, Khazanah, KWSP dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera tidak akan membabitkan banyak perubahan.

Apa yang diharapkan ialah sebarang perubahan yang bakal dilakukan hendaklah dibuat berlandaskan perkiraan profesional dan kelayakan sewajarnya. Sekiranya pertimbangan politik turut dijadikan ukuran seperti yang menjadi satu kelaziman di negara ini, ia tidak seharusnya dibuat berasaskan habuan atau ganjaran atas sokongan politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan