Ahad, 15 April 2012

Sekitar Muktamar PAS Kawasan Batu Kali ke 27, 15 April 2012



Siang tadi, telah berlangsung Muktamar PAS Kawasan Batu Kali Ke-27 bertempat di Dewan Dato' Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhamad (dahulunya dikenali sebagai Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar).

Muktamar PAS Batu kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) iaitu Saudara Hu Phang Chow. Ini merupakan kali pertama seorang non-muslim merasmikan apa jua muktamar PAS pelbagai peringkat. Ini menunjukkan keterbukaan PAS dalam meraikan hubungan bersama-sama kalangan non muslim seterusnya sebagai satu langkah mengiktiraf kewujudan dan kepentingan DHPP selaku salah satu sayap PAS. Ini juga membuktikan betapa PAS Kawasan Batu, selaku antara kawasan PAS tertua di Lembah Kelang ini sentiasa berinovasi dan terkehadapan menjuarai pembaharuan positif dalam meniti langkah mengharungi landskap sosiopolitik negara.
Turut memeriahkan perasmian Muktamar pada kali ini ialah beberapa sahabat dari Parti-parti komponen Pakatan Rakyat seperti Dato Dr Tan Kee Kwong, Penyelaras Parlimen Wangsa Maju dari PKR yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi; Dr Lee Chong Meng yang merupakan bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk kawasan Bukit Bintang; Saudara Rozan Azen Mat Rasip yang mewakili Ahli Parlimen Batu yang juga Naib Presiden PKR, Tian Chua serta bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Hj Ahmad Subky Latif.

Majlis dimulakan dengan bacaan petikan ayat suci al Quran dan doa oleh Ketua Urusan Ulama PAS Batu, Ustaz Azhar Yahya. Beliau telah memetik ayat 8 dan 9 surah Al-Mumtahanah yang bermafhum,

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Kemudian Majlis Perasmian yang dipengerusikan oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Dato' Tarmizi Mohd Jam menyaksikan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin; ucapan daripada Dr Tan dan ucapan perasmian oleh Saudara Hu. BERSIH 3.0 yang bakal menjelma ternyata mendominasi tema ucapan pemimpin-pemimpin hebat ini.

Majlis Perasmian ini juga menyaksikan pelancaran tiga gerak kerja terkini kelolaan PAS Kawasan Batu, iaitu pelancaran buletin khas bulanan PAS Kawasan Batu bernama "Haraki" yang disempurnakan oleh Cikgu Ishak, pelancaran Komuniti Media Baru PAS Kawasan Batu yang disempurnakan oleh Hj Subky dan pelancaran Tabung Kemiskinan PAS Kawasan Batu (Tangkis) yang disempurnakan oleh Saudara Hu.

Kemudian, berlangsung penyampaian beberapa anugerah khusus untuk menghargai jasa dan komitmen yang telah diberikan oleh individu-individu di PAS Kawasan Batu. Antara anugerag yang disampaikan ialah Anugerah Samad Gol yang dianugerahkan kepada Hj Abdul Kadir Tauhid dan Khairunas Moin, Anugerah Chek Suri Yahya yang dianugerahkan kepada Ustazah Hajah Kamariah Mat Ali, Puan Zurina Din dan Puan Zaminah Marzuki serta Anugerah Pemuda Harapan yang dihadiahkan kepada Ketua Pemuda PAS Batu, Saudara Abu Bakar Abdul Rahman.

Majlis kemudian berhenti rehat sebentar untuk sarapan pagi sebelum bersambung semula untuk sesi kedua Muktamar, yang kali ini dipengerusikan oleh Pengerusi Tetap PAS Kawasan Batu, Saudara Mohd Zain Hashim. Memandangkan tahun ini bukanlah tahun pemilihan maka Muktamar ini hanya tertumpu kepada perbentangan laporan tahunan PAS Kawasan Batu serta perbentangan usul. Sebanyak 7 usul telah dikemukakan - 5 oleh Kawasan, 1 oleh Cawangan Taman Koperasi Polis Fasa 1 dan 1 daripada Dewan Pemuda. Hanya 1 usul ditolak dan lain-lain usul diterima oleh Mesyuarat dengan 2 daripadanya memerlukan pindaan. Sidang Mesyuarat berakhir kira-kira jam 3 petang.

Semoga Muktamar PAS Batu kali ini menjadi pemangkin kepada gerak kerja yang lebih mantap dan bersepadu dalam usaha PAS Kawasan Batu terus kekal sebagai peneraju landskap politik di Lembah Kelang khususnya, sama ada sebagai salah sebuah penggiat untuk Parlimen Batu dan juga sebagai Kawasan Bantu untuk Parlimen Titiwangsa. Takbir!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan