Selasa, 17 Mei 2011

Usrah Membentuk Jati Diri Muslim


KEPENTINGAN USRAH

Golongan muda (syabab) adalah merupakan asset penting dalam memastikan kesinambungan gerakerja Islam. Sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam telah membuktikan bahawa golongan ini memainkan peranan penting dalam memastikan tertegaknya panji Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.

Teras utama atau tonggak kepada gerakan Islam ialah usrah. Tanpa usrah maka gerakan akan menjadi jumud dan tidak melahirkan generasi pelapis. Tanpa usrah yang betul maka tidak akan mencapai matlamat yang perlu ada pada mana-mana gerakan. Segala keputusan akan dapat dilaksanakan dengan baik apabila konsep usrah dipraktikkan dalam gerak kerja berjemaah. Usrah juga merupakan majlis untuk membincangkan masalah organisasi dalam jemaah. Kesilapan memahami fungsi usrah menyebabkan perjalanannya lesu dan tidak bermaya. Ia juga tidak akan memberi apa-apa kesan pada peribadi dan juga pergerakan jemaah. Dalam menguruskan organisasi sesebuah jemaah, elemen usrah sangat penting dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya demi untuk menjayakan dan memantapkan organisasi jemaah.

DEFINISI USRAH

Usrah bermakna keluarga. Rapatnya hubungan antara angota usrah menyebabkan kadang-kadang ia lebih akrab dari hubungan saudara sekeluarg. Para ulama’ gerakan ialah individu Muslim yang beriman kepada Allah yang berusaha dalam membina fikrah Islam dalam diri dan peribadi Muslim. Berusaha untuk tolong menolong sesama mereka untuk memahami ajaran Islam dan melaksanakan amanah yang dipikulkan ke atas mereka dalam mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah serta menjauhkan diri dari pengabdian diri kepada manusia dan taghut. Usrah adalah proses untuk mengikat hubungan yang lebih mantap di kalangan ahli jemaah bagi melakukan kerja Islam yang mencabar. Tegur-menegur antara sesama ahli dan nasihat-menasihati adalah asas kekuatan jemaah. Kemanisan berjemaah akan terasa apabila pelaksanaannya menepati kehendak usrah.


OBJEKTIF USRAH

Antara tujuan usrah ialah;

1. Mendidik hati para anggota untuk menjadi manusia yang taat kepada Allah Taala.
2. Menghubungkan anggota secara langsung dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah.
3. Mengiltizamkan anggota dengan akhlak al-Quran supaya dapat mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangannya.
4. Menjadikan Rasul dan para sahabat sebagai ikutan seharian.
5. Berfikiran dan bertindak selari dengan apa yang diajar oleh Allah dan Rasul.
6. Sentiasa dapat bermulazamah dengan al-Quran dan al-Hadis.
7. Membentuk peribadi Muslim, keluarga Muslim dan masyarakat Muslim.
8. Melahirkan keikhlasan kepada Allah dalam setiap amalan.
9. Merapatkan ukhuwwahdan kasih sayang dalam kalangan anggota.
10. Menghidupkan budaya nasihat-menasihati.
11. Menanamkan semangat cintakan agama Allah.
12. Meningkatkan motivasi ahli yang menyertai usrah. Manusia hidup dengan cita-cita, harapan dan kepercayaan yang diyakini. Penekanan yang tepat kepada konsep keimanan kepada Allah dan Rasul akan melahirkan iltizam serta pengorbanan yang bersungguh-sungguh dan tidak kenal erti kecewa.
13. Membuka saluran komunikasi dalam sesebuah organisasi. Sistem usrah yang digunakan boleh mewujudkan sistem komunikasi yang baik di samping mewujudkan arahan sebutang (one button mobilisation)
14. Menguji bakat dan kebolehan anggota masing-masing.
15. Memahami peribadi anggota dengan lebih dekat seperti pemanas, pemurah, penakut, lembap, gopoh dan sebagainya.




PENTADBIRAN USRAH

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas dan jangan sampai kepada peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah hendaklah jangan dijumudkan hanya kepada pembacaan teks dan hafalan tetapi dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiyah kita yang mempertekankan segenap aspek Islam itu sendiri. Kepelbagaian ini boleh dibuat dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadhah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.


RUKUN USRAH

1.Taaruf

Iaitu berkenalan sesama anggota, seperti nama, pekerjaan, umur, latar belakang pendidikan, latar belakang keluarga, tempat tinggal, pengalaman yang dilalui selama ini sehingga masing-masing merasakan bahawa setiap anggota adalah sebahagian daripadanya dirinya sendiri. Asas kepada gerakan dakwah ialah kasih sayang dan ia bermula daripada pengenalan yang mendalam antara dua saudara.


Sabda Rasulullah Sollallahualaihiwasallam;
” Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain”

Sabda Rasulullah sollallahualaihiwasallam Dalam hadis yang lain;
” Orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak akan membiarkannya”


2. Tafahum

Saling bersefahaman sesama anggota dalam beramal dan bertindak.

Persefahaman ini penting kerana ikatan tidak akan dapat dibentuk sekiranya tidak ada persefahaman yang mantaap di kalangan anggota. Apabila persefahaman ini wujud maka segala nasihat-manasihati menjadi baik. Apabila persefahaman terpaut sesama anggata maka ia akan membuahkan kasih sayang antara mereka.pabila persefahaman terpaut sesama anggata maka ia akan membuahkan kasih sayang antara mereka.Perasaan syak wasangka hilang, perasaan hasad dengki terhindar. Dua saudara tidak mengambil hati apabila ia di tegur oleh sahabat. Rukun tafahum ini berkait rapat dengan ukhuwwah kerana ukhuwwah tidak dapat dilaksanakan kecuali sudah ada persefahaman di kalangan mereka

3. Takaful

Dalam kumpulan usrah hendaklah ada perasaan tolong-menolong dan bantu-membantu dikalangan saudara yang lain dalam menghadapi apa sahaja suasana yang memerlukan bantuan normal dan material samada bersifat peribadi mahupun keluarga. Oleh itu, saudara hendaklah bersungguh-sungguh untuk memikul bebanan sesama sendiri. Dasar takaful ini merupakan tunjang iman dan intipati ukhuwwah sejati. Saudara hendaklah bertanya khabar, ziarah menziarahi dan berganti kebajikan dengan cara tolong-menolong antara satu sama lain. Jangan biarkan saudara seperjuangan terlantar tanpa apa-apa berita dan pembelaan.

KESIMPULAN

Dalam usaha untuk membentuk jati diri sebagai seorang muslim yang bertakwa kepada Allah SWT, kita memerlukan wasilah untuk mencapai ghayat agar perjalanan susur galur perjuangan menjadi lebih bermakna dan bersistematik. Oleh itu, usrah merupakan satu bentuk sistem yang cukup memberi kesan dalaman dan juga luaran dan seterusnya dapat membentuk seorang muslim yang mempunyai misi, visi dan bermatlamat dengan jelas dan berfokus. Antara kitab yang boleh menjadi rujukan dan bacaan tambahan untuk menambahkan pengetahuan ialah kitab Al Istia'ab karya Fathi Yakan , Maaza Ya'ni intimaa'i lil Islam karya Fathi Yakan , Jundullah karya Said Hawwa , Bekalan di Jalan Dakwah Ustaz Mustafa Massyhur, Ma'alim Fit Toriq karya Syed Qutb , Risaalatut Ta'alim karya Albanna , Asy Syabab wa Taghyiir karya Fathi Yakan , al Mabaadi' karya Abu A'la Al Maududi dan banyak lagi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan