| HOME |
| CARTA ORGANISASI DPPKB |
| TAQWIN TAHUNAN DPPKB |
| PETA PARLIMEN BATU |
| AKTIVITI DPPKB |
| HUBUNGI DPPKB |
Rabu, 4 November 2009
KEPENTINGAN TARBIYYAH
Aqidah yang sejahtera (aqidatun salim) : Kefahaman aqidah islamiyyah yang jelas hendaklah dipasakkan dengan utuh dan jitu seumpama akar pokok yang menjalar jauh ke dalam tanah. Bukan sekadar meneliti tauhid-tauhidnya sahaja, bahkan aqidah perjuangan dipraktikalitikan dalam tindakan mereka.
Ibadah yang sahih (ibadah soheh) : Dalam pada itu, kehidupan mereka terangkum dalam ibadah yang natural dan bersih daripada sebarang unsur bid’ah. Melaksanakan ibadah berpandukan ilmu yang dipelajari. Seluruh ibadah dilaksanakan tanpa memilih-milih sama ada yang sunat mahupun wajib.
Akhlak yang mantap : Seorang ahli gerakan adalah seorang daie yang menjadi contoh terbaik orang disekeliling. Mana mungkin seorang ahli gerakan mengucapkan kata-kata nista dan umpat tanpa sebarang sebab. Mereka juga menjaga adab-adab dalam berjemaah disamping melestarikan ukhwah islamiyyah.
Mampu bekerja : Yang dimaksudkan ini adalah bijak dan berkapasiti pengorbanan yang tinggi dalam menyelesaikan amanah dan tanggungjawab.
Berpengetahuan luas (ilmun wasi’) : Pra-syarat inilah yang semakin dilupakan oleh sekelian ahli gerakan. Dek mengejar tanggungjawab dan amanah yang diberikan sehingga terlupa mengisi ilmu di dada. Silibus-silibus pengkaderan haruslah disemak dan dianalisis semula agar ia benar-benar ilmiah dan semasa. Majalah, surat khabar serta internet perlu diakses dan sensitif agar tidak kosong dadanya daripada ilmu pengetahuan semasa.
Tubuh yang cergas : Ini tidak dapat dinafikan lagi. Kesihatan tubuh perlu dijaga. Kebanyakan ahli gerakan kadangkala mempunyai tabiat makan yang tidak menentu. Walaubagaimanapun, perancangan makan juga perlu disusun untuk melahirkan ahli yang sihat tubuh badannya.
Menguasai diri (mujahadutnnafs) : Ahli gerakan tidak boleh mendabik dada merasakan mereka sudah banyak melakukan kebaikan dek gerak kerja mereka. Kita sedia maklum, ahli gerakan perlu turun ke medan-medan dakwah bersama-sama dengan masyarakat yang pelbagai. Justeru itu, kekuatan jiwa daripada pengaruh yang menggugat harus dipertingkatkan. Di samping amalan-amalan rohani serta solat fardhu yang menjadi pertolongan.
Teratur urusannya (munazzamah) : Kebatilan yang terancang pasti jua akan menang seandainya kebenaran itu tidak tersusun dan berstrategi. Setiap ahli gerakan perlu berusaha mewujudkan planner harian untuk menyusun gerak kerja harian serta tidak mudah lupa dalam menjalankan amanah.
Sangat menghargai masa : Sudah menjadi kelaziman, ahli gerakan sewajarnya menjadikan masa sebagai aspek terpenting dalam hidup. Setiap yang berlalu tidak harus dipersiakan begitu sahaja. Sentiasa merasakan resah seandainya setiap saat yang bergerak tidak melakukan kerja-kerja Islam.
Bermanfaat kepada orang lain : Aspek inilah yang mahu dilahirkan daripada setiap gerakan Islam. Kehadiran ahli gerakan di mana-mana sahaja sentiasa dirasai dan ketiadaannya sentiasa ditunggu-tunggu. Bukan kerana glamournya, tetapi kerana rembesan tarbiyah dirinya cukup menjadikan orang sekelilingnya merasa tenang bersamanya.
Kita sedar akan realiti. Gerakan tidak mampu melahirkan ahli sesempurna itu. Namun, suatu sistem atau strategi harus dikemaskini kembali supaya matlamat adalah mengarah kepada kualiti ahli yang disebutkan di atas. Barulah gerakan Islam mampu ’menggegarkan’ musuh-musuh yang selama ini memandang enteng dan sebelah mata.
Oleh : GhUrAbA'
Label:
[ DAKWAH ]
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan