Oleh : Faisal Tehrani
1. Saya ingin menegur kecenderungan dan keghairahan media kita melabel segelintir pemimpin sebagai berjiwa rakyat atau merakyat.
2. Label merakyat atau berjiwa rakyat ini amat 'sacred' dan sungguh luhur sekali.
3. Tiada pemimpin dari mana-mana kumpulan pun setakat ini berhak disematkan dengan label sedemikian bagus.
4. Sekiranya pemimpin tersebut berjalan kaki 3 kilometer (sekali), atau turun minum (sekali) di Puduraya, atau naik lrt/monorel dari stesen KL Sentral (sekali) ke mana-mana destinasi, ia belum dapat dinilai sebagai merakyat, atau berjiwa rakyat.
5. Contoh terbaik merakyat ialah Rasulullah saw.
6. Di zaman moden, pemimpin seperti Mahatma Gandhi layak diberi gelar kudus tersebut, iaitu merakyat. Saya kira belum ada lagi pemimpin dari mana-mana parti politik di Malaysia setaraf dengan Mahatma Gandhi; mencontohi Rasulullah saw atau Saidina Ali, Omar mahupun Abu Bakar jauh sekali.
7. Ini bermakna kempen istilah 'merakyat' yang digunakan oleh sesetengah media hanyalah satu retorik kosong.
8. Pada saya, sekadar satu contoh; pemimpin kita hanya boleh dianggap merakyat jika ikut sama terperangkap dalam kemacetan lalu lintas dari Senawang ke Sungai Besi (di lebuhraya Utara-Selatan) dan turut merasai bagaimana kejang letihnya kaki menukar gear kenderaan, atau merasai bagaimana halnya mahu terkincit atau terkencing ketika kereta hanya bergerak-gerak manja sedangkan tiada kemalangan di hadapan. Rasailah bingung dan geram ini seperti mana rakyat rasai. Gejala ini misalnya kerap berlaku ketika musim perayaan atau cuti panjang. Ia misalnya turut berlaku semalam di lebuhraya Utara-Selatan.
9. Itu hanyalah satu contoh murni dari saya. Saudara mungkin ada contoh lain.
10. Saudara dipelawa mencatat contoh-contoh merakyat yang boleh dicuba oleh pemimpin kita seperti
a. memanjat flat dua puluh tingkat ekoran kerosakan lif sejak berbulan-bulan kerana tidak dibaiki pentadbir, atau contoh lain ialah
b. pemimpin hanya dapat dianggap merakyat apabila setiap hari menggunakan komuter dari Rawang ke Bank Negara seraya terpeleot dengan muka terpenyek di cermin jendela komuter, sambil terpaksa mencium bau bacin ketiak pendatang asing.
c. mengharung banjir kilat yang amat menyeksakan. Atau ya...banyak lagi contoh-contoh merakyat yang kita ini rakyat lalui hari-hari.
11. Saya ulangi, kalimah merakyat itu suci, jangan menggunakannya sesuka hati. Kerana ia mungkin akan makan diri. Kita yang benar-benar rakyat ini, silap haribulan boleh naik meluat!
Jadi, apa lagi; sila senaraikan contoh daripada anda sendiri. Anggaplah ini sebagai satu aktiviti rakyat pada hari isnin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan