KOTA BHARU, 28 April (Hrkh) - Mufti-mufti di negara ini perlu bangkit mendesak kerajaan menyemak semula keputusan kabinet mengekalkan agama asal anak biar pun ibu bapa mereka menganut Islam.Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Mohamed Daud berkata, kabinet bukannya mahkamah yang boleh membuat keputusan mengekalkan agama anak biar pun ibu bapa sudah memeluk Islam.
“Ini sudah bercanggah. Kalau kes itu berkaitan dengan agama ia mesti melalui Mahkamah Syariah. Kalau sekali pun kabinet mahu membuat keputusan, namun dalam hal agama ia mesti dirujuk kepada jabatan berkaitan.
“Percanggahan ini terang-terang berlaku dan ia memperlihatkan keputusan kabinet hanya bagi kepentingan politik Umno,? katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini kabinet membuat keputusan anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa semasa berkahwin biar pun kemudiannya ibu bapa mereka menganut agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat sebagai penyelesaian jangka panjang sebagai merujuk kes Mohd Ridzuan Abdullah dan Indra Gandhi.
Ridzuan nama asalnya Patmanathan a/l Krishnan, 40 kini memeluk Islam turut membawa tiga anaknya berusia berusia 1 hingga 12 tahun menganut Islam. Dia kemudiannya memohon hak penjagaan di Mahkamah Syariah.
Menteri itu juga menyebut mana-mana individu yang ingin menukar agama perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan bagi mengelakkan kanak-kanak menjadi mangsa.
Ekoran kenyataan tersebut banyak pihak membantah termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan pemimpin-pemimpin politik.
Mohamed berkata, kabinet tidak boleh mengetepikan peranan Mahkamah Syariah dalam menangani isu membabitkan agama Islam.
“Keputusan yang dibuat kabinet di bawah perdana menteri baru jelas bagi menjaga kepentingan survival politik Umno untuk mempengaruhi orang bukan Islam di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, keputusan dibuat kerajaan BN tanpa merujuk kepada jabatan-jabatan berkaitan hal ehwal agama Islam.
“Ini jelas menunjukkan betapa lemahnya institusi agama berada di bawah pentadbiran kerajaan BN sekarang,” ujarnya. - mj
Tiada ulasan:
Catat Ulasan