Selasa, 26 April 2011

Gambar - Gambar Sekitar AGM PAS Kawasan Batu

Cikgu Ishak Surin, YB Husam dan Ustaz Zulhaidi dari DPPKB. AGM PAS Kawasan Batu dirasmikan oleh YB Husam


Pemuda PAS Batu sedang memasang banner disekitar Parlimen Batu



Ustaz Abu Bakar menguruskan kaunter pendaftaran

Barisan Perasmi-Perasmi dari pelbagai Parti dan NGO


Para perwakilan dan pemerhati yang hadir.



Cikgu Mala sedang menyampaikan ucapan



YB Husam melancarkan AGM PAS Kawasan Batu

Isnin, 25 April 2011

Cikgu Ishak Surin, Datuk Suhaimi, Datuk Tarmizi dan Ustaz Azhar menang tanpa bertanding sebagai kepimpinan tertinggi PAS Kawasan Batu












MESYUARAT Agung Tahunan, PAS Kawasan Batu pada Sabtu 23 April 2011 lalu di Dewan Serbaguna Taman Gombak dan telah dirasmikan oleh Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Datuk Paduka Husam Musa merangkap Exco Kanan Kerajaan Kelantan Darul Naim.

Pada Menyuarat Agung Tahunan kali ini, Cikgu Ishak Surin, Datuk Suhaimi, Datuk Tarmizi dan Ustaz Azhar masing-masing mengekalkan jawatan diperingkat kawasan apabila mereka menang tanpa bertanding, setelah pencabarnya menarik diri dan memberi laluan mudah kepada penyandang jawatan. Inilah yang terjadi dalam PAS Kawasan Batu semalam, apabila jawatan Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Ketua Urusan Ulama tidak dipertandingkan.

Keempat-empat jawatan tersebut tidak dipertandingkan kerana pencabarnya memberi laluan penuh kepada penyandang asal iaitu Haji Ishak Surin (Yang Dipertua); Datuk M Suhaimi Abdul Rahaman (Timbalan Yang Dipertua); Datuk Tarmizi Mohd Jam (Naib Yang Dipertua) dan Ustaz Azhar Yahya (Ketua Urusan Ulama).

Untuk jawatan Yang Dipertua, sebanyak tiga calon diutarakan. Sementara jawatan Timbalan Yang Dipertua dua calon dan Naib Yang Dipertua empat calon. Tiada pencalonan untuk mencabar jawatan Ketua Urusan Ulama kali ini.

Mereka yang dicalonkan untuk keempat-empat jawatan itu, terlebih dahulu dihubungi melalui telefon bagi mengesahkan pencalonan atau menarik diri bagi jawatan-jawatan terbabit. Bagaimanapun, setelah dihubungi kesemua mereka menarik diri. Mesyuarat berjalan dengan lancar dengan beberapa usul diterima dan dibahaskan. Semoga kepimpinan PAS Kawasan Batu terus mempersadakan perjuangan.

Rabu, 20 April 2011

Presiden PAS Liabiliti, DPPWP Sanggah Hujah Aziz Bari

DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyanggah pandangan Penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari di dalam Malaysian Insider yang mengatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada komponen Pakatan Rakyat. Jika benar beliau menjadi liabiliti, sudah lama PKR dan DAP memutuskan hubungan dengan PAS.

Selain itu, pandangan Aziz yang asyik mengulang isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan Presiden PAS tidak ubah seperti pandangan budak tadika sahaja. Ia jelas menunjukan kelemahan bacaan politik beliau yang mana, dibawah kepimpinan Presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2008. Malah jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi dari 7 kerusi pada 2004. Sebagai Presiden keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti diseluruh negara bukannya di Terengganu sahaja. Dan ianya sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS dibawah Presiden.

Tuduhan Aziz yang turut mengatakan bahawa Presiden menjadi punca kegagalan PAS memenangi mana-mana kerusi di Sarawak juga amat dangkal. Lainlah jika PAS sebelum ini pernah menang di Sarawak dan kemudiannya kalah semua kerusi dalam pilihanraya baru-baru ini. Pilihanraya Sarawak 2006 menyaksikan PAS bertanding 1 kerusi tapi kali ini PAS bertanding 5 kerusi dan ini satu petanda bahawa Presiden telah berjaya memainkan peranannya di dalam Majlis Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan ketika proses pembahagian kerusi.
Aziz juga kelihatan agak bingung ketika mendakwa Presiden PAS adalah punca kegagalan 16 September. Di tadika manakah fakta ini diperolehinya? Adakah beliau ada membuat kajian ilmiah tentang hal ini sebagai Profesor atau sekadar mengantungkan lidah beliau pada hujahan berasaskan persepsi.

Nampaknya beliau sengaja mengkambing hitamkan Presiden PAS dengan pelbagai tuduhan liar, hanya untuk melampiaskan nafsu amarahnya yang tidak ketahuan punca.
DPPWP menasihatkan agar Aziz tidak memalukan golongan ahli akademik yang selama ini bercakap atas fakta dan kajian yang lebih berfakta. Jika beliau tiada modal untuk bercakap baik diam sahaja dari terus melalak seperti orang bijak yang kelihatan kurang bijak mengunakan ilmunya.

DPPWP hari ini cukup berpuashati dan memberikan sokongan penuh kepada Presiden PAS diatas usaha beliau membangkitkan semula keupayaan PAS setelah melalui zaman kekalahan pada 2004.

Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Jumaat, 15 April 2011

Mengapa perlu berada dalam PAS?

Oleh Dato Harun Taib

PARA sahabat r.a dan khulafa’ ar-rasyidin merupakan generasi terawal yang memahami kewajipan menyambung perjuangan amal Islami. Mereka amat memahami dan berpegang teguh kepada firman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa Ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”, lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; Maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang”. - ( As-Shaf : 14 )

Rasulullah s.a.w dalam khutbahnya sempena haji wadaínya di Arafah antara lain: “falyubalighi syahida minkumul ghaiba” bermaksud: “Maka hendaklah orang yang hadir pada hari ini menyampaikan risalah ini kepada yang tidak hadir.”

Generasi sahabat merasakan satu arahan diajukan kepada mereka supaya menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w ini. Dari sudut logiknya, risalah nabi Isa a.s terhad waktunya dari mula dilantik menjadi utusan Allah sebagai nabi sehingga lahirnya Rasulullah s.a.w.

Namun dia memerlukan penyambung risalah Ilahiyyah ini selepas ketiadaannya. Apatah lagi nafas risalah nabi yang bersifat begitu panjang sehingga qiamat, sudah tentu memerlukan orang yang menyambungnya, lebih-lebih lagi risalah Islam itu untuk alam seterusnya. Sesuai pada setiap masa dan zaman.

Namun begitu, Rasulullah s.a.w diwafatkan ketika Islam hanya berkuatkuasa di Semenanjung Tanah Arab sahaja. Oleh yang demikian, untuk menyebarluaskan risalah ini ke seluruh dunia, ia dilakukan oleh para sahabat dan setiap orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda. Mereka wajib mengikut arahan Allah Taala untuk memikul amanah besar ini.

Selain daripada itu, Nabi s.a.w bersabda: “talzamu jama’atal muslimin wa imamahum...” ( Wajib ke atas kamu bersama dengan jemaah Islam dan mentaati kepimpinan mereka...). Hadis ini merupakan sebahagian daripada hadis yang panjang semasa wawancara Setiausaha Sulit Nabi s.a.w, Huzaifah Al-Yaman dengan Nabi. Bersumberkan hujah ini, sudah cukup setiap Muslim berasa degup jantung kewajipan menyambung risalah ini.

Kewajipan menyertai jemaah Islam

Kewajipan perjuangan Islam itu tidak boleh dilakukan secara perseorangan. Ini kerana penyertaannya terhad dengan umurnya. Oleh itu, seseorang itu hanya dapat melakukan kerja-kerja perjuangan semasa hidupnya sahaja. Sekiranya ia bekerja secara berjemaah, jika ia mati, jemaah tetap terus berkerja dan bergerak untuk menerangkan risalah ini iaitu dalam satu bentuk organisasi atau jemaah yang tersusun rapi. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam satu barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”. - (As-Shaf:4)

Mafhum mukhalafahnya; mereka yang tidak berjuang dalam jemaah, mereka sebenarnya terkeluar dari orang yang dikasihi oleh Allah Taala.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu Keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau Kami sanggup tentulah Kami berangkat bersama-samamu.” mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa Sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta”. - (At-Taubah:42)

Oleh kerana destinasi perjuangan ini jauh, merentasi sempadan geografi, dan warna kulit sehingga alam Akhirat, sudah pasti memerlukan lapisan generasi yang menyambungnya.

Ciri-ciri jemaah Islam yang diwajibkan oleh Rasulullah s.a.w supaya umat Islam bersama-sama menyertainya:

1. As-Syumul:

Jemaah itu hendaklah berjuang secara menyeluruh. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. - (Al-Baqarah:208) Menulusuri latar belakang turunnya ayat ini, satu peristiwa berlaku kepada seorang pendeta Yahudi yang memeluk Islam iaitu Abdullah bin Salam, meminta keizinan daripada Rasulullah s.a.w untuk terus menyampaikan kuliah Kitab Taurahnya pada setiap hari Sabtu.

Apabila ia mengemukakan perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, sebelum Rasulullah menjawab permintaannya itu, terlebih dahulu Allah Taala menurunkan ayat ini. Oleh yang demikian, masuk Islam secara tidak menyeluruh adalah dilarang keras bahkan Allah Taala menyifatkan orang yang mengambil Islam secara juz’iy (tidak menyeluruh) itu, sebenarnya mengikut jejak langkah syaitan.

Kronologi sejarah syaitan adalah makhluk yang begitu lama mengabdikan diri kepada Allah Taala tetapi apabila Allah Taala hendak mencipta nabi Adam a.s dan zuriatnya, tiba-tiba syaitan ingkar dan sombong (aba wastakbara) akan perintah Allah Taíala tersebut menyebabkan syaitan dimurkai Allah Taala. Tegasnya, bukan semua perintah Allah Taíala tidak diikuti oleh syaitan tapi sebahagiannya sahaja.

2. Jemaah yang memperjuangkan kebenaran Islam yang tunggal dengan membawa pegangan ahli Sunnah wal Jamaíah.

Sabda Nabi s.a.w: “la tazalu min ummati... (nyatakan yang hak, mereka tidak diapa-apakan oleh orang yang menentangnya sehingga hari kiamat.)

3. Jemaah yang berjuang secara amali untuk menyatakan kebenaran.

Rasulullah s.a.w bersabda: (la tazalu taifatun min ummati yuqatilu hatta ya’tiya amrullah..) maksudnya: “Sentiasa wujud daripada umatku satu kumpulan/jemaah yang berjuang menegakkan kebenaran sehinggalah datang keputusan daripada Allah Taala (hari Qiamat)”. Dengan erti kata lain, jemaah yang berani turun padang bersama masyarakat untuk menyatakan kebenaran.

4. Terdapat di kalangan anggotanya sifat-sifat yang dinyatakan oleh Allah Taíala.

FirmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, Barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha mengetahui”. - (Al-Maidah)

Di antara sifat-sifat yang dimiliki oleh ahli jemaah yang kehendaki oleh Allah Taala itu : 1. Disayangi Allah Taala dan mereka menyayangi Allah Taala. 2. Merendah diri sesama mukmin. 3. Bangga dan mulia bersama perjuangan Islam di hadapan orang bukan Islam. 4. Berjuang tanpa takut ancaman celaan orang yang mencela. Semua sifat ini merupakan anugerah yang diberikan Allah Taala kepada sesiapa sahaja yang dikasihi-Nya.

5. Jemaah yang dapat memupuk perasaan roh ukhuwah di kalangan ahli-ahlinya yang sampai ke peringkat ithar (mementingkan orang lain lebih daripada diri sendiri).

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin), atas diri mereka sendiri, Sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung”. - (Al-Hasr:9)

6. Jemaah yang bersifat keterbukaan yang boleh menyatukan ahlinya pada prinsip dan dasar walaupun berbeza pendapat dalam masalah furuí.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Katakanlah: “Hai ahli Kitab, Marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara Kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah”. Jika mereka berpaling Maka Katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa Kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”. - (Ali-Imran:64)

Penulis ialah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan kertas kerja ini telah dibentangkan pada Seminar Keahlian Baru PAS di Shah Alam Selasa, 7 Disember 2010.

Rabu, 13 April 2011

Kematian Adik Saiful, Apa Ceritanya?

KEMATIAN adik Saiful Syazani Saiful Sopfidee telah menggemparkan Negara. Pembawaan carita oleh media telah mengejutkan semua pihak termasuk saya yang menjadi mangsa kepada penceritaan media berkenaan isu tersebut. Peristiwa berlaku apabila seorang guru agama sebuah sekolah dikatakan telah mendera seorang pelajar berusia 7 tahun hingga menyebabkan kematian pelajar tersebut.(gambar sekolah Al-furqan, tempat kejadian ) Boleh kita baca bagaimana ‘jahat’nya guru tersebut dengan pendedahan media seperti, “Selepas memukul kepala, suspek dikatakan `naik hantu’ dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung” – harian metro- (boleh baca lanjut dengan tajuk, cikgu ambil nyawa ) “Saiful Syazani meninggal dunia selepas tiga hari dilaporkan koma, akibat dibelasah guru yang juga seorang warden di sekolah agama persendirian selepas disyaki mencuri RM7 di asrama sekolah. Dalam kejadian Khamis lalu itu, mangsa diikat kedua-dua tangan pada tingkap dan dibelasah bertalu-talu sebelum dihempas ke dinding hingga menyebabkannya mengalami pendarahan organ dalaman” – JPM Malaysia - Setelah kita mengikuti kes tersebut melalui media yagn membuat liputan, maka kita telah menghukum dengan rasminya bahawa sungguh jijik dan jahat perbuatan guru tersebut. Namun disana, saya masih curiga akan kisah yang berlaku. Dengan izin dan kesempatan yang diberikan Allah, telah menggerakkan hati saya dan pimpinan GAMIS ( Akram dan Nazry ) melawat tempat kejadian dan rumah arwah di Jejawi, Perlis. Kami kesana atas kerja rasmi GAMIS dan berkesempatan menziarahi rumah arwah. CERITA SEBENAR Setibanya kami di sekolah berkenaan, ustaz waqar ( sahabat baik kepada guru agama yang dituduh ‘membunuh’)menyambut kami dengan mesra dan penuh ukhwah. Kami terus dibawa kerumah ayah angkat arwah terletak lebih kurang 6km dari sekolah berkenaan. Sepanjang perjalanan, ustaz waqar telah mencerikan kisah sebanar kejadian.
“ adik saiful(arwah) merupakan seorang yang mesra dengan orang. Dia agak aktif disekolah dan pernah menjadi Johan pertandingan azan PASTI peringkat negeri Perlis(gambar hadiah yang dimenangi). Setelah masuk ke darjah 1, dia tinggal diasrama. Namun timbul beberapa kes disiplin sepanjang adik ni tinggal diasrama hinggalah pada kemuncaknya dia didapati mencuri wang rakannya berjumlah RM7. Maka dia telah dipanggil oleh ustaz (yang dituduh) yang merupakan warden asrama ke bilik warden. Ustaz telah bertanya kepada adik saiful tentang kecurian wang rakannya, dan dia mengaku berbuat demikian. Semasa pertanyaan diajukan, ustaz berkenaan telah mengikat kedua-dua tangan adik saiful dibahagian hadapan, bukan belakang. Namun sepanjang berada dibilik warden tersebut, TIDAK ADA penderaan fizikal yang berlaku sebagimana yang dilaporkan. Sebaliknya ikatan tangan tersebut dibuka setelah ustaz berkenaan ingin keluar dan mengurung adik saiful dalam bilik berkenaan. Setelah 2 jam ditinggalkan, seorang lagi warden, ustaz y telah membuka bilik berkenaan dan mendapati adik saiful terbaring diatas toto sambil menggigil. Mulanya ustaz y mengesyaki adik saiful terkena sawan dan kacing gigi, namun beliau sendiri tidak pasti akan penyakit yang menyerang. Lantas ustaz Y terus membawa adik saiful ke hospital Kangar, namun pihak hospital tidak dapat menerima pesakit kerana banjir melanda Bandar Kangar pada masa itu. Seterusnya adik saiful dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star dan terus dimasukkan ke wad ICU. Pada malam kejadian itu juga ustaz h telah menemui ayah angkat adik saiful dan memohon maaf atas kesilapan dia mengurung arwah selama 2 jam. Sebelum ustaz h pergi kehospotal, dia terkejut dengan berita bahawa adik saiful dimasukkan ke icu, lantas dia terus menunaikan solat hajat”.
Selang 3 hari dari hari kejadiaan, adik Saiful dipanggil oleh Allah untuk mengadapnya pada jam 8pagi hari ahad.” Begitulah cerita sebenar kejadian kematian adik saiful yang telah diceritakan oleh rakan baik ustaz h. Kami terus pening kerana banyak percanggahan maklumat yang dibaca melalui media sebelum daripada itu. Kami terus sampai kerumah Abang Zamri(ayah angkat adik saiful). Ketibaan kami disambut mesra oleh abang zamri yang kelihatan pasrah dan redha akan ketentuanNya. Adik saiful tinggal bersama keluarga Abang Zamri sejak umur 2 tahun setengah, setelah bapa adik saiful tidak mahu membelanya setelah kematian ibu adik saiful. “ dia seorang yang berani dan tak takut apa yang orang kata. Dia memang keras dan keberanian dia tak padan dengan umur dia” cerita abang zamri.
Setelah setengah jam berbual dengan abang zamri, kami pun memohon izin untuk pulang. GAMIS sempat menyampaikan sedikit bantuan kepada abang zamri atas musibah yang menimpa. Kami doakan agar abang zamri dan keluarga tabah dan sabar menempuh ujian yang mendatang. ( gambar Abang Zamri, senyum tanda terima kasih ) Semasa perjalan pulang, ustaz waqar sempat menyambung ceritanya tadi. Beliau turut mengaitkan kes ini telah menjadi suatu isu politik kepartian kerana sekolah berkenaan adalah dibawah parti PAS. Maka sebab itu, pelbagai cerita pelik yang timbul. Saya rasakan apa yang diceritakan oleh ustaz w adalah benar setelah melihat laporanforensik yang diberitakan bahawa punca kematian adik saiful adalah kerana kekurangan oksigen dan pendarahan dalam otak. Maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku, namun nyata sekali tidak ada kesan LEBAM akibat pukulan yang berlaku sebagimana yang dilaporkan oleh media. Lihat laporan ini, meniggal akibat kekurangan oksigen. Kami juga dibawa melihat bilik warden yang dikatakan tempat adik saiful dikurung oleh warden berkenaan.

Bilik tersebut bukan hanya pejabat, bahkan tempat tidur ustaz berkenaan. Banyak lagi persoalan yang timbul disebalik kejadian berkenaan, namun Allah sahaja yang mengetahui kebenarannya. Apa yang sangat menyedihkan ialah apabila masyarakat telah ‘menghukum mati’ peribadi ustaz berkenaan yang hanya dituduh dan ditohmah oleh media yang sanga berat sebelah. Yang lebih teruk lagi bila politikus menjadikan isu ini sebagai senjata politik hingga mendesak sekolah agama berkenaan ditutup.

GAMIS bukan membela tindakan ustaz bekenaan, namun apa yang kami harapkan ialah keadilan mesti diberikan kepada mereka yang terlibat. Media jangan cepat mnghukum hingga masyarakat pada hari ini memberi tanggapan yang sangat negatif kepada sekolah agama rakyat.


GAMIS juga mendesak agar jangan libatkan politik yang melampau dalam kes ini hinggalah mahkamah yang menentukan siapa yang bersalah dalam kes berkenaan. Kita doakan agar keadialan diberikan kepada mereka yang berhak, dan pembalasan yang sepatutunya kepada yang zalim.


Sumber Rujukan : www.mygamis.net/

Isnin, 11 April 2011

Mesyuarat Agung Pemuda PAS Kawasan Batu

PEMUDA Pas Kawasan Batu telah selesai bermesyuarat agung pada 3 April 2011 dan sebulat suara memilih Ustaz Abu Bakar Abd Rahman untuk memegang teraju kepimpinan pemuda. Beliau akan dibantu oleh Ustaz Kamal yang memegang Setiausaha sesi yang lepas. Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula masih disandang oleh Nurul Islam Mohamed Yusoff. Semoga amanah yang diberikan kepada pimpinan pada sesi ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.


Pemilihan kali ini menampakan banyak muka-muka baru yang terpilih membarisi kepimpinan pemuda PAS Batu. Dengan harapan, para pejuang di jalan Allah sentiasa beriltizam dan beristiqamah dengan prinsip-prinsip Jemaah.




Dewan Pemuda PAS Batu juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Saudara Rosli Mat Yatim yang telah pun tamat usia pemuda dan Insyallah akan meneruskan perjuangan di Kawasan. Semoga usaha dan tenaga kerja yang dicurahkan mendapat balasan yang sebaiknya dari Allah s.w.t