Jumaat, 26 Jun 2009

AL-FATIHAH

Takziah buat mantan Ketua Pemuda Pas Pusat yang kini Naib Presiden, YB Salehuddin b. Ayob atas pemergian ayahanda beliau semalam.

Juga takziah buat saudara kita, Abdul Kadir b. Manap (Bendahari Dewan Pemuda Pas Kaw. Batu) atas pemergian bapa beliau petang semalam.

Diberitakan Allahyarham bapa beliau terlibat dalam kemalangan langgar lari berdekatan bandar Muar, Johor. Allahyarham meninggal di tempat kejadian. Untuk makluman, Allahyarham adalah merupakan Ketua Dewan Ulama' Pas Kawasan Pagoh dan menetap di Muar.

Khamis, 18 Jun 2009

TASAAMUH DALAM IKTILAF


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Semoga ALlah sentiasa menambahkan hidayah dan petunjuk kepada kita semua. Semoga kita dijauhkan daripada hasutan dan pengaruh syaitan serta nafsu jahat.

Marilah kita sama-sama meneliti sebuah email yang dihantarkan oleh Ustaz Tuan Ibrahim kepada saya. Tajuknya adalah Tasamuh Dalam Ikhtilaf. Tasaamuh bermaksud berlapang dada atau tolak ansur manakala ikhtilaf bermaksud perbezaan pandangan.

Ikhtilaf atau perbezaan pendapat adalah lumrah bagi manusia, ia berlaku di kalangan para ambiya’, dan turut berlaku di kalangan para sahabat. Ia juga berlaku di zaman Rasulullah , samada sewaktu Baginda masih hidup apatah lagi setelah Baginda wafat. Ikhtilaf berlaku dalam pelbagai keadaan samada berpunca dari penafsiran sesuatu nas dalil yang mempunyai pelbagai makna, lahjah yang berbeza atau sudut pandangan sesaorang; namun ianya tidak pernah diangap negatif dalam sejarah para ulamak; sehingga terkeluar kata-kata masyhur “ Perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat’ walaupun kata-kata ini ditahkik oleh Dr Yusuf Qardhawi sebagai ‘la aslalah’, ( tidak diketahui punca riwayat sebenar), kerana beliau melihat kalau perbezaan pendapat menjadi rahmat, bermakna muafakat adalah bala’, dan ini tentunya bertentangan dengan sifat Islam sebagai rahmat, serta dalil-dalil yang lain.

Saya tidak berhasrat membicarakan persoalan tersebut dari sudut tahqiq atau para perawi, tetapi ianya adalah masyhur. Lantaran itu rahmat yang disebut dalam kata-kata itu tentulah lahir dari pelbagai natijah hasil ikhtilaf tersebut.

Para ulamak telah membuat huraian panjang lebar berhubung dengan persoalah adab dalam ikhtilaf. Namun adab hanya akan diikuti bilamana adanya tasawur yang jelas terhadap apa yang diikhtilafkan. Sebagai sebuah jamaah Islam, ikhtilaf hendaklah berjalan di atas landasan ukhuwwah, bukan kebencian dan memandang rendah kepada sahabat. Ikhtilaf boleh berlaku di kalangan pimpinan dan pengikut demi memperkukuhkan jamaah, ia akan lahir setelah adanya sikap hormat kepada perbezaan pandangan, kerana kemampuan berfikir manusia tidak sama.

Dari sudut jamaah, kita terikat dengan akhlak dan adab berjamaah, yang menuntut kita agar berlapang dada dengan perbezaan pendapat, dan tidak memaksa pandangan kita ke atas jamaah, kecuali dalam perkara yang terikat dengan nas yang bersifat qatie. Selagi ianya bersifat ijtihadi, maka ia terikat untuk dibahas, dibincang , diterima atau ditolak.

Sikap Tasaamuh ( berlapang dada ) dalam ikhtilaf sangat-sangat dituntut. Terkadang kita memandang baik kepada sesatu perkara, sedangkan ianya tidak baik bagi kita, bahkan terkadang kita membenci sesuatu, sebaliknya ia baik bagi kita. Itulah yang diingatkan oleh Allah “ dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, tetapi ianya baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu mengasihi sesuatu, tetapi ia tidak baik bagi kamu , Allah mengetahui, sedangkan kamu sebenarnya tidak mengetahui”. Oleh kerana perkara masa depan adalah dalam ilmu Allah, maka setiap perbezaan pandangan hendaklah mengharapkan kebaikan dari Allah. Berlapang dadalah dengan perbezaan ini. Apatah lagi kalau kedua-duanya untuk kebaikan jamaah. Kita mempunyai saluran dalam melahirkan perbezaan pandangan, maka gunakan saluran parti bagi menyatakan perbezaan pandangan agar ia tidak merosakkan ukuwwah dalam jamaah.

Kita punya pengikut yang ada kecenderungan tersendiri, samada untuk mengikuti pandangan seseorang atau membencinya. Kebencian ini akan memberi ruang kepada musuh untuk memasukkan jarum fitnah, yang boleh menjurus kepada hilangnya wala’ pada pimpinan. Sedangkan wala’ adalah rukun dalam jamaah. Sebagai pimpinan kita tidak seharusnya meletakkan ahli dan pengikut dalam situasi serba salah, antara bersetuju dengan sesuatu pendapat dan pandangan atau sebaliknya. Kerana rasa bersalah yang ujud dalam diri ahli untuk menerima atau menolak sesuatu pandangan pimpinan, mendorong kepada dua situsi;

i. Apa orang lain akan kata kepadanya, dan sekiranya ia berlaku, ia mendatangkan kesan besar selepas itu. Tidak mustahil ada yang akan tersinggung, menyisih diri, merajuk dan seterusnya hilang dari jamaah,
ii. menjadi golongan kecewa dengan apa yang berlaku dan terus mengambil sikap berdiam diri dari aktif dalam jamaah.

Kedua-dua situasi ini tidak menguntungkan jamaah dan paling besar merugikannya bilamana dia mengadap Allah diakhirat. Lantaran itu, ikhtilaf hendaklah di dalam lingkungan adab berjamaah, ia dikawal dari sikap melampau, membuka ruang kepada musuh, apatah lagi menjerumus kepada hilangnya sikap hormat, kecewa, dan tidak mempedulikan jamaah.

Awasi perangkap musuh yang membesar-besar perbezaan pendapat, meracuni pemikiran ahli agar hilang wala’ pada pimpinan, dan memberi peluru kepada musuh untuk merosakkan jamaah. Semoga Allah memelihara kita dari finah ini.

Oleh:

Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man.


Ust. Yusof Embong

Rabu, 17 Jun 2009

Antara dua Tok Guru: PENJELASAN DAN PENJERNIHAN TERHADAP KONSEP KERAJAAN PERPADUAN


Oleh : Wan Abdul Rahman Wan AB Latif

SEJAK Tuan Guru Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang memperkenalkan konsep kerajaan perpaduan, ia telah menimbulkan satu polemik seolah-olah terdapat perbezaan pemikiran yang serius antara Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN.

Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.

Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.

Umno meyindir begitu hebat sekali seolah-olah kerajaan negeri Trengganu pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi adalah begitu miskin sekali sampai peringkat meminta sedekah kepada Kerajaan Pusat.

Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar.

Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.

Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.

Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.

Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am.

Tuan Guru Presiden adalah ikhlas dalam mengetengahkan idea kerajaan perpaduan. Sekiranya Umno ikhlas dalam hal ini, tindakan segera yang Umno perlu lakukan ialah jangan bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai 2009 nanti.

Sekiranya Umno terus bertanding, maka Umno yang sebenarnya berpura-pura mengenai kerajaan perpaduan dan bukannya kedua-dua Tok Guru yang mereka ingin lagakan.

Takrifan dan latarbelakang sejarah

Kerajaan Perpaduan dapat didefinisikan sebagai "satu kerajaan campuran yang besar terdiri dari semua parti politik (atau semua parti politik yang penting) yang berada dalam satu Dewan Perundangan (legislature) dan biasanya dibentuk dalam masa perang atau lain-lain keadaan dharurat yang dihadapi oleh sesebuah negara."

Dari takrifan ini ia memperlihatkan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah merupakan satu struktur politik yang kekal. Ia bersifat sementara, iaitu ia diwujudkan dalam keadaan-keadaan yang kritikal (seperti semasa perang dan krisis ekonomi yang meruncing) bagi menjamin kelangsungan negara itu sendiri.

Ini bermakna perbezaan pandangan antara parti yang memerintah dan pembangkang perlu dikesampingkan. Atas dasar inilah kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang.

Ia boleh menjadi satu struktur politik dan pentadbiran yang kekal sekiranya Islam dijadikan bahan rujukan dalam segala aspek pentadbiran negara, atas kesedaran bahawa Islam adalah satu sistem yang syumul dan paling sempurna yang diturunkan oleh Allah untuk manusia.

Dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922.

Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, Perdana Menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945.

Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Sebagai contoh, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara.

Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.

Kerajaan yang ditubuh ini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional atau Government of National Unity (GNU). Di bawah pimpinan Presiden Nelson Mandela, GNU berkembang dan berfungsi dengan baik.

Pada pilihan raya 27 April 1994, Parti Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress) pimpinan Mandela telah memenangi majoriti kerusi di Dewan Perhimpunan Nasional dan boleh menubuh kerajaan tanpa bantuan parti-parti lain.

Walau bagaimanapun, dua parti lain, Parti Nasional dan Parti Kebebasan Inkatha telah menerima pakai peruntukan GNU dan memperolehi beberapa portfolio kabinet.

Presiden Mandela turut mengundang parti-parti lain menyertai kabinet sungguhpun parti-parti ini tidak memperolehi 20 kerusi minima sebagaimana yang diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai GNU. GNU bertahan sehingga 1999.

Contoh kedua ialah Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima.

Berbeza dengan Afrika Selatan di bawah Mandela, kerajaan perpaduan Israel tidak menjemput parti-parti politik lain yang lebih kecil menyertai kerajaan yang dibentuk. Kerajaan perpaduan yang dibentuk di Israel mempunyai motif politik yang tersendiri iaitu hanya memikirkan survival bangsa Yahudi sahaja.

Halangan ke arah pencapaian

Bukanlah sesuatu yang senang untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan terutamanya dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana nilai-nilai politiknya adalah sarat dengan nilai-nilai perkauman.

Memahami betapa terdapatnya halangan-halangan yang serius bagi penubuhan sebuah kerajaan perpaduan di Malaysia, maka Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan hanya merupakan satu lontaran idea. Tidak lebih dari ini.

Sekiranya ada pihak-pihak yang berminat, maka penerokaan yang lebih mendalam terhadap idea ini bolehlah diteruskan. Antara perkara yang perlu dibincang ialah bagaimana untuk mengatasi halangan-halangan yang sedia ada bagi membolehkan idea kerajaan perpaduan dipraktikkan.

Di Malaysia, antara halangan yang wujud ialah pertama, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang dilihat oleh sesetengah pihak (termasuk parti politik) sebagai menghalang perpaduan. Peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan ialah: Islam sebagai agama Persekutuan; hak istimewa orang Melayu; Perkhidmatan Awam (termasuk polis dan tentera); DEB, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain. Apakah perkara-perkara ini perlu dipinda? Atau di mansuh?

Halangan kedua ialah sistem pilihan raya yang berteraskan first-past-the-post. Dapatlah dihujahkan di sini bahawa sistem pilihan raya yang berteraskan prinsip 'perwakilan berkadar' (proportional representation) adalah lebih selari dengan konsep kerajaan perpaduan.

Halangan ketiga ialah sistem Federalisme ikutan Malaysia di mana terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Kerajaan Pusat. Apakah ini sesuai dengan perjalanan 'kerajaan perpaduan'?

Halangan ke empat ialah peranan Ketua Whip di Parlimen; ia perlu dipinda. Begitu juga dengan peranan BBC. Ini adalah kerana kewujudan institusi ini menyebabkan ahli-ahli parlimen terpaksa akur kepada keputusan partinya sungguhpun ada ahli-ahli parlimen dari parti ini tidak bersetuju dengan keputusan atau dasar yang dibuat oleh parti mereka sendiri.

Kerajaan Perpaduan: Peranan PAS

Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut: Pertama, bergerak cergas bagi merealisasi prinsip loyal opposition.

Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional.

Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip 'pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif'.

Ke empat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.

Sekiranya PAS masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan, maka GNU pimpinan Nelson Mandela adalah model terbaik yang boleh dijadikan sebagai model dan perlu dikaji secara mendalam kesesuaiannya dalam konteks Malaysia.

Model ini sudah semestinya diterapkan dengan nilai-nilai Islam. Jangan juga lupa bahawa Sahifah Madinah yang dihasilkan oleh Rasulullah (saw) sendiri merupakan model terbaik kerajaan perpaduan. - mks.

(Penulis adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP). _

Selasa, 16 Jun 2009

JENAZAH DR. FATHI YAKAN SELAMAT DIKEBUMIKAN


Jenazah Syeikh Dr Fathi Yakan pengasas Jamaah Islam (cawangan ikhwanul Muslimin) di Lubnan telah selamat dikebumikan di bandar Tarablas selatan Lubnan selepas solat asar kelmarin. Jenazah beliau telah diiringi secara rasmi dan manusia dalam keadaan kesedihan memenuhi masjid Tinal (tempat jenazah disembahyangkan).

Diantara yang yang mengiringi jenazah beliau adalah wakil Presiden syria, ketua dewan rakyat Nabih Barri, pimpinan HAMAS Sami Khatir yang mewakili ketua Biro Politik HAMAS Khalid Masy'al, pimpinan pergerakan Jihad Islami Abu Imad ar-Rifaie, timbalan setiausaha agung Jemaah Islam Ibrahim Misti dan wakil dari Hizbullah.

Syeikh Malik as-Syiar yang mengimamkan jenazah beliau telah berkata:

إن طرابلس مدينة العلم والعلماء، ومعها العالم الإسلامي بأسره تودع رجلاً من كبارها وعلمًا من أعلامها رائد الحركة الإسلامية ومؤسسها، من أفنى عمره وحياته في سبيل الدعوة إلى الله عز وجل

"Sesungguhnya Tarablas adalah bandar ilmu dan ulama. Seluruh dunia Islam telah mengucapkan selamat tinggal kepada seorang tokoh dan panji Umat Islam. Beliau juga adalah pelopor dan pengasas bagi Gerakan Islam yang telah menghabiskan kehidupannya untuk berdakwah kepada Allah."

Ulasan: Kehilangan ulama adalah satu musibah bagi Umat Islam dan tanda diangkatnya ilmu diakhir zaman. Hasan Basri berkata:

مَوْتُ العَالِمِ ثَلْمَةٌ فِي الإِسلامِ لاَ يَسُدُّهاَ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

"Matinya seorang alim adalah suatu lubang dalam Islam. Tidak akan dapat di tutup selama-lamnya." (Hr Darimi 329 dan Baihaqi dlm Syu'abul Iman 1719)

Rujukan: Ikhwanonline dan Mukhtasar Jami'u Bayanil ilmi wa Fadlih oleh Ibnu Abdul Bar.

Laman Blog Salman Maskuri

Isnin, 15 Jun 2009

PERGINYA SEORANG MUJAHID AGUNG


Al Faatihah !

Semoga Allah merahmati ruh al marhum al ustaz Dr. Fathi Yakan , seorang ulama' al mujahid yang terbilang di zaman ini . Menghabiskan usia di medan perjuangan . Pidato dan karyanya sangat membina dan mendidik ummah . Al Marhum adalah ulama' bertaraf dunia yang mempunyai saham perjuangan yang cukup besar dan luas .

Kini al marhum telah kembali ke rahmatillah . Sedih dan pilu menyelubungi anak murid beliau di seluruh dunia . Kembalinya ke rahmatillah , satu kehilangan besar buat perjuangan ini .

Mungkin yahudi dan Israel sedang berpesta dengan kewafatan seorang ulama' yang gigih berjuang menentang Yahudi dan Israel alaihilaknatullah .

Saya mula mengenali hasil - hasil karya beliau sekitar tahun 1986 . Maqalah pertama yang saya baca dan membawa saya ke persada perjuangan ini ialah maqalah yang bertajuk الشباب و التغيير [ Pemuda dan Perubahan ] karangan al marhum Ustaz Fathi Yakan .

Bagi anggota gerakan Islam yang menekuni Amal Tarbawi bersama penglibatan mereka pasti tidak ketinggalan meneladani satu lagi kitab hasil tangan beliau yang cukup berkah iaitu [ Apa Ertinya Saya Menganut Islam ] ما ذا يعنى إنتمائي للإسلام

Alhamdulillah , saya sempat beberapa kali menemui al Marhum dan menadah [ talaqi ] beberapa buah maqalah kecil justeru pertemuan kami sering sahaja dibatasi waktu dan dikekang oleh jadual padat al marhum yang mengembara dan berdakwah ke serata dunia .

Sekali lagi saya mewakili seluruh warga Dewan pemuda PAS Pusat mengucapkan takziah ke atas ahli keluarga al marhum dan insyaallah kami juga akan mengutuskan warkah takziah kepada ahli keluarganya di Lubnan .

Lebih penting kepada kita semua , agar semangat perjuangan dan ruh tarbiyah yang ditinggalkan oleh al marhum akan terus di semarakkan insyaallah dan Dewan pemuda PAS pastinya akan menjadi medan subur untuk tujuan tersebut .

[ DPPP ] بقلوب مؤمنة بقضاء الله وقدره تتقدم حركة الشباب الإسلامي بمليزيا
بأصدق مشاعر التعزية الأخوية وبخالص المواساة القلبية بوفاة المفكر الكبير والداعية الإسلامي المجاهد الشيخ الدكتور فتحي يكن

[ Jenazah al marhum disembahyangkan pada asar hari ahad 21 jamadul akhir 1430 hijrah di Masjid Tinal dan akan dikebumikan di perkubnran keluarga di Babur Raml. ]

Ust. Nasruddin Hassan At-Tontowi

Jumaat, 12 Jun 2009

JANGAN MUDAH PERCAYA...musuh sengaja melaga-lagakan kita.

Salam sahabat-sahabat seperjuangan,


Kita janganlah mudah percaya kepada berita, perkhabaran dan maklumat; tapislah dulu, siasat dulu, jangan mudah percaya. Kekadang kita lebih percayakan surat khabar daripada sahabat sendiri.

Adalah merupakan satu kesalahan besar jika kita mudah mempercayai isu yang sedang berlaku mengenai sahabatmu, atau mudah menuduhnya telah melakukan perbuatan yang menyakitkan,hanya berdasarkan kepada khabar angin dan isu yang diterima. Padahal anda tidak melihatnya dengan mata kepala sendiri, bahkan tidak sesuai dengan yang anda ketahui dari kebiasaannya.


Waspadalah, kerana banyak yang dengki kepada orang-orang yang terikat dalam jalinan ukhuwah. Para pendengki tersebut mempunyai kecemburuan yang sangat tinggi, mereka tidak suka melihat hubungan tulus yang begitu kuat mengikat orang-orang yang bersahabat, mereka tidak tenang selama tali ukhuwwah tersebut belum terurai dan para sahabat bercerai-berai.


Abu Darda' berkata: "Turutilah saudaramu dan berlaku lembutlah kepadanya, jangan mudah terpedaya oleh khabar yang disampaikan oleh orang-orang yang dengki dan memusuhi saudaramu. Besok ajalnya akan tiba, kamu akan merasa kehilangannya. Buat apa kamu menangis setelah kematiannya, padahal selama hidup kamu menjauhinya.


Suatu hal penting yang perlu anda perhatikan adalah, terkadang sikap anda membuat para pendengki menebarkan boleh hasutannya, seperti jika anda terlalu menampakkan cinta yang berlebihan terhadap sahabatmu di hadapan mereka. Mungkin anda mengira mereka suka melihatnya, kerana yakin bahawa seharusnya mereka seperti anda yang menyukainya, padahal mereka berbalik iri ketika mendengar ucapanmu. Bahkan kerana anda sering terlihat menjumpai sahabat, dapat memicu perasaan tidak suka, mereka cemburu dan dengki, lalu mencuba untuk menghancurkan kemesraan hubunganmu dengannya. Untuk itu, pandai-pandailah dalam mengungkapkan isi hati kepada sahabatmu ketika berada di tengah-tengah orang banyak.


Sekian, terima kasih.

Sedutan dari buku Virus-Virus Ukhuwwah oleh
Abu 'Ashim Hisyam bin Abdul Qadir Uqdah

Ust. Yusof Embong